Wednesday, September 22, 2010

PALESTINE SEPINTAS LALU.

PALESTINE SEPINTAS LALU.

Negara ‘haram’ Israel terbina di atas tanah rakyat Palestin yang dirampas semenjak tahun 1948; di atas restu England, Amerika dan PBB. Episod ganas dan mengerikan itu bermula pada 9 April 1948 apabila kumpulan komando pengganas Zionis yang terdiri dari kumpulan Irgun, Stern Gang dan Palmach menyerang perkampungan Deir Yassin yang jaraknya 5.5km dari sebelah barat kota Baitul Maqdis. Kumpulan pengganas ini diketuai oleh Menachem Begin, yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Israel. Sejumlah 254 dari 750 penduduk kampung tersebut dibunuh dengan kejam dalam masa 3 hari. Manakala mereka yang terselamat pula diarak di bandar Israel sebagai trofi, dicaci maki, diludah, dibaling dengan batu; kemudiannya sebahagian dari mereka dibawa pulang semula ke Deir Yassin untuk dibunuh dan sebahagiannya lagi dipenjara dan diseksa. Bermula dari hari itu, seluruh rakyat Palestin terus menanggung episod derita yang tak berkesudahan. Setiap hari mereka dibunuh, dipenjara dan diseksa oleh tentera dan rakyat Israel. Seperti juga di Iraq, senjata kimia juga digunakan secara meluas untuk menghapuskan orang-orang Islam Palestin. Kebun-kebun tanaman masyarakat Palestine dimusnahkan, perniagaan dan perdagangan dihancurkan, rumah dan sekolah dibom, serta tanah-tanah milik mereka dirampas sepanjang masa. Sebahagian masjid-masjid ditukarkan menjadi kuil Yahudi manakala sebahagiannya lagi dijadikan tempat minum arak (pub) dan pusat pelacuran. Hatta tempat-tempat menyimpan air bagi rakyat Palestin juga diracuni oleh Zionis Israel yang jahat itu. Regim Zionis Israel juga telah membina tembok-tembok raksasa yang tinggi untuk memisahkan baki wilayah Palestin yang tinggal dari negara haram Israel. Akhirnya, seluruh rakyat Palestin akan tinggal dalam penjara gergasi ciptaan Zionis Israel.

Pada bulan November 2006 lalu, Dunia Hari Ini (RTM) melapurkan 3000 kanak-kanak Palestine yang berusia di bawah 15 tahun (lelaki dan perempuan) ditahan di penjara-penjara Israel. Kanak-kanak ini terdedah kepada penderaan fizikal, mental dan seksual yang dilakukan oleh tentera-tentera Syaitan Israel setiap hari. Tidak kurang juga wanita-wanita Palestin yang menjadi mangsa. Semenjak tahun 1967, lebih 650,000 rakyat Palestin telah ditangkap dan dipenjarakan, sementara lebih 2 juta orang lagi menjadi pelarian yang hidup dalam keaadaan yang sangat daif. Secara keseluruhannya, 6 juta rakyat Palestin telah diusir dari tanah air mereka semenjak tahun 1946. Peristiwa penyembelihan di Shabra dan Shatila (kem pelarian Palestin yang terletak di sempadan Lubnan) pada 16 September 1982, menyaksikan lebih 3000 pelarian Palestin yang tinggal di kem-kem sementara telah dibunuh dengan kejam oleh pengganas Israel yang dibantu oleh kumpulan Falangis (kumpulan pengganas kejam Kristian Lubnan). Pembunuhan kejam itu dilakukan dalam masa 36 jam. Kanak-kanak disembelih di hadapan ibu-ibu mereka. Terdapat bayi yang dipotong terlebih dahulu kedua kaki dan tangan mereka sebelum disembelih. Wanita dan gadis diperkosa. Orang-orang tua disiksa dengan memotong anggota badan termasuk mencungkil keluar mata dan dibiarkan mati perlahan-lahan. Bayangkan….tiada kata-kata yang dapat menggambarkan keadaan yang berlaku pada waktu itu. Jika ini boleh berlaku di Palestin, ianya mungkin pada bila-bila masa boleh berlaku di tempat kita sekiranya kita terus mengambil langkah mendiamkan diri dan berpeluk tubuh.

Masjidil Al Aqsa, tempat ketiga paling suci bagi umat Islam (di nama Nabi Muhammad SAW Mi’raj ke langit bertemu Allah Ta’ala) berada dalam keadaan yang amat genting. Golongan Yahudi di Israel dan seluruh dunia sedang berusaha keras untuk merobohkan masjid ini bagi mendirikan kuil mereka di atas tapak Al Aqsa. Masjid Al Aqsa telah beberapa kali mengalami kebakaran yang teruk akibat percubaan Yahudi untuk memusnahkannya semenjak berpuluh tahun yang lalu. Mereka telahpun menggali beberapa terowong yang besar di bawah Al Aqsa untuk melemahkan strukturnya.

APA YANG KITA PERLU LAKUKAN??BAGAIMANA KITA DAPAT MEMBANTU??

APA KATA KITA BERMULA DENGAN ‘3B’: Berdoa. Berderma. Boikot.

BERDOA DAN TERUS BERDOA UNTUK SAUDARA KITA

Doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Ibnu Abi Aufa berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW berdoa di waktu peperangan Ahzab : “Wahai Allah, Tuhan yang menurunkan Al Kitab, dan Tuhan yang cepat perhitunganNya, kalahkanlah tentera-tentera musuh dan goncangkanlah mereka.” (Ibnu Mas’ud).

(Al Baqarah 2:186) “Apabila hamba-hambaKu bertanya kepada engkau (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku memperkenankan permohonan orang yang meminta jika dia meminta kepada Aku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan aku serta beriman

kepada Aku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.”

BERDERMA

Di antara usaha lain yang InsyaAllah dapat kita lakukan ialah dengan menghulurkan derma sekadar yang mampu kepada warga Palestin (melalui badan-badan Amal tertentu). Mereka sajalah umat yang ada untuk menjadi sandaran bagi mempertahankan Masjidil Al Aqsa dan bumi Palestin buat masa ini. Hilang bangsa Palestin, hilanglah Al-Aqsa. Walaupun dalam keadaan yang serba daif mereka masih bertahan dengan izin Allah, hampir 60 tahun lamanya. Rakyat Palestin sangat sengsara akibat sekatan ekonomi oleh Israel mutakhir ini. Bekalan makanan semakin berkurangan begitu juga ubat-ubatan. Jika mereka tidak ditolong oleh saudara-saudara Islam yang lain, maka ramailah di antara mereka yang akan mati akibat kebuluran dan penyakit. Kanak-kanak pula akan mati akibat tidak cukup zat dan ubat-ubatan. Oleh itu, pertolongan melalui derma oleh Umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia sangat-sangat diperlukan dengan segera. Lebih Memburukkan lagi keadaan apabila kerajaan pengganas israel pada 27 Disember 2009 melancarkan serangan berskala besar yang meragut banyak nyawa yang tidak berdosa terutama kanak-kanak. Beribu-ribu pula cedera parah, dan jika berpeluang untuk hidup, kebanyakan mereka akan mewarisi kecacatan kekal sepanjang hayat. Bom kimia WP (White Phosphorus) digunakan dengan berleluasa yang mengakibatkan kecederaan parah dan kematian yang mengerikan. (SEGERALAH BERTINDAK!)

BOIKOT

Kenapa perlu boikot? Setiap ringgit yang kita belanjakan untuk membeli produk keluaran Amerika (Coca Cola, Pepsi, Mirinda, Johnson&Johnson, Levi's, Caltex, Esso, McDonald, dan banyak lagi - Untuk maklumat lanjut sila rujuk http://www.boicot-us.com/). akan secara langsung atau tidak akan menyumbangkan kepada kekukuhan ekonominya. Dengan kekukuhan ekonomi, mereka dapat mencipta lebih banyak senjata pembunuh dan pemusnah yang digunakan terutamanya ke atas Umat Islam bukan sahaja di Iraq, Afghanistan, Palestin, malahan di seluruh muka bumi ini pada suatu hari nanti.

Sebagai pengguna, kita mampu memainkan peranan untuk merubah keadaan. Kalau tak mampu boikot semua produk keluaran Amerika dan syarikat yang menyokong Israel, kita bermula dengan beberapa item yang kita mampu dulu, InsyaAllah. Kita sebagai Insan yang lemah hanya merancang, mencari ikhtiar dan berusaha, Allah Taa'la yang Maha menentukan.

(Bagi kita rakyat Malaysia yang merdeka, kita masih mampu mengubah keadaan dengan lidah dan tangan. Sebagai pengguna pula, kita masih mampu untuk berbuat sesuatu dengan kuasa membeli yang ada pada kita. Kita juga mampu menggunakan lisan kita untuk memberi penerangan dan pendidikan kepada oran lain.)

Sewaktu Nabi Allah Ibrahim a.s dibakar oleh Namrud dengan api yang menjulang seperti gunung, seekor burung membawa beberapa titis air di dalam paruhnya untuk cuba membantu memadamkan api yang membakar. Burung-burung yang lain mengatakan apalah gunanya engkau membawa beberapa titis air untuk memadamkan api yang menggunung itu. Belumpun sempat air itu jatuh ke bawah, sudah tentu hilang sekelip mata akibat kepanasan api. Burung yang cuba membantu menjawab, "sekurang-kurangnya, aku tidak berpeluk tubuh tanpa cuba berbuat sesuatu. Setidak-tidaknya aku telah berusaha setakat termampu untuk menyelamatkan agama Allah di atas muka bumi ini."

(Ar Raad 13:11) "Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawasnya dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."

Apakah matlamat yang ingin dicapai dengan memboikot?

Aktiviti pemboikotan barangan negara-negara yang terlibat dalam keganasan membunuh Umat Islam bukan sahaja dipraktikkan oleh kita di Malaysia sahaja malahan di merata tempat di seluruh dunia dengan matlamat untuk menghentikan keganasan Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap orang awam yang tidak berdosa. Sebahagian dari penduduk di negara-negara Timur Tengah telah lama mengambil langkah ini. Sebahagian rakyat Eropah misalnya dari Norway, Belgium, Greece, Perancis, Sepanyol dan lain-lain lagi telahpun secara terbuka memulau barangan Amerika, Israel dan negara penyokong mereka. InsyaAllah, dengan gabungan ini, tidak dapat tidak, syarikat-syarikat gergasi Amerika terutamanya akan terasa juga bahangnya. Hanya 10% penurunan dalam jualan mereka di seluruh dunia akan membuatkan pelabur-pelabur mereka melompat dari kerusi. Ini akan memaksa mereka untuk mengkaji dan menilai kembali sokongan terhadap dasar luar kerajaan mereka yang ganas. (Untuk maklumat dan gambaran jelas:http://www.inminds.co.uk/)

Cari Alternatif - Alhamdulillah, mutakhir ini, telah terdapat banyak produk kegunaan harian keluaran Malaysia yang lebih murah dan bermutu tinggi. Kalau dahulu, kita hanya kenal Colgate, tetapi hari ini kita dapat berbangga dengan produk ubat gigi keluaran negara kita sendiri seperti Safi, Najwa, Halagel, Mukmin, Raiya yang kesemuanya berstatus Halal. Begitu juga dengan produk sabun, kita sudah punya banyak alternatif lain selain dari Fab (USA) dan Breeze (England); misalnya Puteri Emas, Daia, Harimau Kuat dan banyak lagi. Nestle merupakan salah satu penyumbang utama kepada Ekonomi Israel. Oleh itu, carilah alternatif kepada Milo >>>(Vico - buatan Malaysia, MyVivo-M’sia), Maggi mee >>>(Mamee, Adabi, Rusky - Malaysia, Indo Mi - Indonesia), Cap Junjung >>> (Marigold, F&N, Dairy Champ - Malaysia), Nescafe >>> (Radix, Gold Choice, Super CoffeeMix - Malaysia, Indocafe-Indonesia) dan banyak lagi pilihan yang lain dengan kualiti yang setanding dan harga yang lebih murah.

Adakah cara ini efektif? Proses pemulauan barangan pernah dilakukan oleh sebahagian penduduk dunia ke atas regim kulit putih Apartheid di Afrika Selatan yang menindas kaum kulit hitam berabad lamanya. Hasilnya, ekonomi regim Apartheid terpukul dan seterusnya melemahkan mereka dan akhirnya terpaksa menyerahkan kembali negara tersebut kepada mereka yang berhak. Ini memberi ruang kepada penduduk asal menikmati kembali hak mereka di mana Presiden Nelson Mandela yang dipenjarakan oleh tentera regim berbelas tahun lamanya akhirnya dibebaskan.

Bagi negara-negara kapitalis, kekuatan ekonomi merupakan kunci bagi mereka menakluki dunia dan menjalankan aktiviti keganasan sesuka hati mereka. Kebanyakan punca kekayaan yang mereka perolehi semenjak berkurun dulu datang dari hasil rompakan yang mereka lakukan ke atas negara-negara timur dan Afrika. Tidak terkecuali, suatu masa dulu negara kita pernah dijajah oleh tentera-tentera salib dari Portugal, Belanda dan England. Mereka merompak hampir semua hasil mahsul negara kita sepanjang tempoh 446 tahun mengganas di Tanah Melayu. Portugis berjaya menakluki Melaka pada ketika orang Melayu sedang mengalami konflik perpecahan yang kritikal sementara pemerintah pula sedang sibuk bercinta dengan Puteri Gunung Ledang dan berpoya-poya. Adakah kita semua meniti kesilapan yang sama sekali lagi? Sekiranya kita terjajah sekali lagi, adakah tempohnya akan melangkaui 446 tahun atau hingga kiamat? Adakah kita merdeka sepenuhnya sekiranya fikiran masih lagi terjajah?

PERPADUAN merupakan dinamo yang memperkasakan umat Islam. Kita tidak mampu untuk mengharungi ujian akhir zaman ini berseorangan tanpa bersatu.

(Ali Imran : 103) "Dan berpegang teguhlah kamu sekelian dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai."

(An Nisa : 59) “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”

(Al Insan : 2) "Sesungguhnya kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur, serta kami tetap mengujinya..."

"...dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa selain Allah..."

~Ali Imran : 135~

"Ya Tuhan, halakanlah kebingungan hatiku kepada nur cahayaMu, dan tindak tandukku yang keliru kepada jalanMu yang lurus." - AMIN...

No comments:

Post a Comment